CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

PISMP SAINS SOSIAL AMBILAN JANUARI 2010


INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA

KAMPUS KENINGAU SABAH




SEPAKAT DAN KOLEKTIF MENJULANG KECEMERLANGAN


Khamis, 22 Oktober 2009


Semasa kecil Chin Peng minat sekali membaca bahan-bahan media cetak dan menyoroti perkembangan di negara China. Ketika itu berlaku pertikaian antara Chiang Kai Shekdan Mao Zedong. Tentera Jepun pula merampas Manchuria dan menguasai pedalaman China. Negara China merupakan tanah kelahiran bapa dan nenek moyangnya di kawasanKwantung.

Semasa berumur 15 tahun, Chin Peng mempunyai perasaan yang dekat dengan nasionalis berpendidikan barat Ching Kai Shek yang menguasai kawasan selatan China danTaiwan. Tapi buku kecil 'On Protacted War' karangan Mao Zedong mengubah pendiriannya kepada aliran komunisme. Tekadnya jelas untuk menentang Jepun yang kemudian menyerang Tanah Melayu tahun 1941.

Pada tahun 1940, beliau diterima untuk menyertai Parti Komunis Malaya iaitu satu cabang Parti Komunis China di seberang laut. Dia turut menyertai Force 136, satu pasukan bersenjata yang ditubuhkan oleh perisik British bagi menentang Jepun di Tanah Melayu. Ketika itu umurnya baru sahaja 18 tahun.

Chin Peng memimpin MPAJA atau Malayan People Anti Japanese Army, sebuah pasukan gerila bagi menentang Jepun. Tentera British (Pasukan Special Air Services dan MI6) yang diterjunkan di hutan Perak, telah memberi pelbagai senjata, kewangan, latihan dan pelbagai peralatan lain bagi memperlengkapkan Force 136 dan MPAJA. Tentera MPAJA pernah menyerang tentera Jepun di Sungai Perak berhampiran dengan tebing Pasir Salak pada tahun 1942.

Selepas Perang Dunia II, beberapa pihak yang berfahaman radikal dalam MPAJA telah bertindak keluar hutan untuk membunuh dan menyeksa mereka yang bersubahat dengan tentera Jepun dan tali barut British. Mereka turut membunuh pemimpin tempatan seperti para Penghulu dan para Imam kampung sebagai taktik memantapkan penguasaan mereka. Selain itu, puak radikal dalam MPAJA turut cuba merampas pentadbiran terutamanya di bahagian selatan Tanah Melayu. Tindakan puak yang didakwa radikal tidak pernah disekat oleh MPAJA. Ini kemungkinannya MPAJA sebenarnya sedang menilai kejayaan tindakan sedemikian. Membiarkan tindakan ahlinya bermaharajalela membunuh dan menyeksa penduduk sekali gus menunjukkan tindakan tersebut mendapat sokongan tersembunyi dari para pemimpin MPAJA.

Tindakan puak radikal dalam MPAJA ini telah menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu yang bangkit untuk menentang pihak komunis di bawah beberapa pemimpin seperti Panglima Salleh Selempang Merah. Akibat daripada tindak balas orang Melayu ini, Parti Komunis Malaya gagal merampas kuasa malah terpaksa meminta campur tangan Tunku agar mententeramkan orang-orang Melayu yang bangkit ketika itu.

Malah ada beberapa fakta yang menunjukkan bahawa beberapa pihak di dalam kelompok Melayu elit yang telah menghasut dan membangkitkan isu perkauman Cina/Melayu dalam usaha mereka mengekalkan kekuasaan mereka. Kelompok Melayu elit ini rata-rata amat mengharapkan agar pihak British akan datang kembali dan seterusnya membolehkan mereka bertapak kukuh di dalam urusan politik tempatan. Malah pihak-pihak ini juga menghasut agar beberapa individu dan pertubuhan dilabelkan sebagai puak kiri dan kemudiannya berjaya mengharamkan pertubuhan tersebut dan menangkap pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya.

Kembalinya British dengan pentadbiran tenteranya (BMA) dalam tempoh yang singkat menyebabkan pihak Bintang Tiga tidak berjaya mengembangkan pengaruh mereka. Akibat kegagalan Bintang Tiga merampas Tanah Melayu dengan gerakan bersenjata, telah membawa kepada persetujuan pembubaran tentera MPAJA dan perletakan senjata api disamping pembayaran saguhati kepada gerila-gerila terbabit.

Atas jasanya terhadap perjuangan penentangan pendudukan Jepun, Chin Peng dijemput ke London untuk menerima medal 'Order of the British Empire ' kerana sumbangannya yang besar memimpin MPAJA dan Force 136 menentang Jepun. Tapi tekadnya untuk menubuhkan kerajaan komunis di Tanah Melayu dan menyingkirkan British dan akhirnya memerdekakan Malaya semakin membuak-buak selepas itu. Suasana aman dan maju di kota London meningkatkan azamnya untuk berjuang di dalam hutan Tanah Melayu

Sumber : Wikipedia




Selasa, 4 Ogos 2009

Tugu Peringatan Perang Dunia ke - 2


Tempat yang sering dikunjungi di Labuan ialah Tugu Peringatan Perang Dunia Kedua yang terletak di Jalan Tanjung Batu. Taman memorial yang dilandskap dengan indah ini adalah tempat pengebumian 3,908 pahlawan-pahlawan perang yang tersungkur semasa pertempuran atau penawanan di Borneo semasa Perang Dunia Kedua. Kebanyakan daripada mereka adalah warga Australia dan Britain dengan sebahagian dari Punjab Signal Corp, New Zealand, dan beberapa orang tempatan.

Pada Februari 1945, pihak Jepun yang telah menangkap kawasan pihak Bersekutu di kawasan Sandakan, mula memaksa banduan-banduan untuk berkawad ke Ranau – ia kemudiannya dikenali sebagai ‘Kawad Kematian Ranau’ (Ranau Death March). Beratus-ratus banduan kehilangan nyawa semasa berkawad dan mereka yang tertinggal serta kem tawanan perang Sandakan telah dikebumikan di Kubur Perang Labuan.

Pada 10 Jun 1945, askar-askar Bersekutu mendarat di Brown Beach, Tanjung Purun bagi memulakan pembebasan Borneo daripada pihak Jepun. Sebelum ini, bandar Labuan telah dibom teruk untuk menghalau pihak musuh. Kebanyakan daripada bangunan-bangunan di situ termusnah. Pergaduhan juga berlangsung di sebuah tempat yang dikenali sebagai ‘the pocket’.

Jenazah askar-askar Bersekutu dikumpul dari seluruh Borden untuk dikebumikan di taman peringatan. Berbaris penanda putih menandakan kubur-kubur tersebut. Pelawat-pelawat dapat merujuk kepada panel-panel pada barisan di mana nama askar yang dikebumikan disini akan tertera. Berbagai-bagai mesej diukir pada penanda kubur askar-askar dengan sebilangannya tertera ‘dikenal oleh Tuhan’.

Tugu Peringatan Perang Dunia Kedua kerap dikunjungi oleh veteran-veteran perang, khususnya dari Australia yang telah meletak Labuan sebagai destinasi penting dalam perjalanan mereka. Pada setiap Ahad pertama pada bulan November setiap tahun, satu perkhidmatan bagi menandakan Hari Peringatan diadakan di sini dan dihadiri oleh orang tempatan dan pelawat-pelawat asing. World War Memories telah dibina dan dikekalkan oleh Komanwel War Graves Commission. Halaman rumput adalah disimpan dengan cantik supaya pelawat-pelawat dapat menghargai keamanan dan ketenangan bagi tempat mereka mencari pemahaman mengenai perang, kematian dan kehilangan.

Sumber : Laman Web Rasmi Perbadanan Labuan

Isnin, 3 Ogos 2009

Sahabat Sejati...


'Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati..’

“Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (H.R al-Hakim)

ALLAH SWT mencipta makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan. Begitu juga manusia, tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari dari berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang. Jika ada manusia yang tidak suka berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, dia dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri-ciri sebagai seorang manusia yang normal.

Inilah antara hikmah, kenapa Allah SWT mencipta manusia daripada berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13, yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.”

Dalam Islam faktor memilih kawan amat dititikberatkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu. Ada kawan yang sanggup bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja.

Pendek kata sahabat boleh menentukan corak hidup kita. Justeru, jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan hadith Rasululah saw yang bermaksud: “Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya” (H.R Abu Daud).

Bak kata pepatah Arab, “Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”

Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik?

Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:

  • Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;
  • Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;
  • Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;
  • Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;
  • Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;
  • Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;
  • Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;
  • Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu;
  • Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;
  • Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;
  • Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;
  • Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan;
  • Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat;
  • Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Sebagai remaja yang terlepas daripada pandangan ayah ibu berhati-hatilah jika memilih kawan. Kerana kawan, kita bahagia tetapi kawan juga boleh menjahanamkan kita.

Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat seperti dibawah:

  • Sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.
  • Sahabat hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.
  • Sahabat pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang dia tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu atau mengkhianati amanahmu. Bila telah di percayai, dia khianati. Bila telah di cintai, dia dustakan.
  • Sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau suka berpesta, suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan yang melalaikan.
  • Sahabat yang membawamu semakin jauh dari Allah. Seorang yang tidak menambah kebajikanmu di dunia, lebih2 lagi di akhirat. Seorang yang tidak menambah manfaat kehidupanmu di akhirat, bukanlah temanmu yang sebenar.

Hati-hatilah memilih kawan, kerana kawan boleh menjadi cermin peribadi seseorang. Berkawanlah kerana Allah untuk mencari redha-Nya

Sumber : nurjeehan.wordpress.com